Sebelum ini beberapa kali bekerjasama dalam filem, pelakon dan penyanyi Datuk Awie menyifatkan Allahyarham Mamat Khalid bintang yang menyerlah dalam industri pergileman negara.

Awie turut berkongsikan momen terakhir dengan Mamat dimana dia ada menerima mesej terakhir dariapda arwah minggu lalu yang lain daripada kebiasannya.

BACA: “Arwah Ceria Seperti Biasa, Teruja Layan Tetamu Di Kafe”

“Beberapa minggu lalu arwah ada mesej berbunyi ‘Love you bro, cepat-cepat sembuh’. Dia tak pernah mesej begitu dengan saya sebelum ini. Kalau bergurau pun kasar. Kemudian dia turut bertanya khabar.

“Kali terakhir kami berjumpa pada tanyangan Kampung Pisang Muzikal. Arwah disifatkan sebagai pengarah, sahabat dan abang yang baik kepada semua krew,” katanya.

Turut menziarahi jenazah arwah di rumah, Awie berkata Allahyarham seorang yang periang dan tenang. Malah, sentiasa menghiburkan orang sekeliling.

“Dia penghibur di kala ada orang yang bermasalah di lokasi. Pada masa sama dia juga mengajar hingga semua pelakon dapat membawa watak mereka dengan baik.

“Dia yang membawa saya hingga kekal dengan watak Husin. Sehingga ke akhir hayat arwah panggil saya dengan nama watak itu,” katanya.