fbpx

“Arwah Ceria Seperti Biasa, Teruja Layan Tetamu Di Kafe”

Berkongsikan detik terakhir bersama Allahyarham Mamat Khalid, isterinya Hasmah Hassan tidak menyangka suaminya pergi secepat itu berada dalam keadaan sihat.

Kata Hasmah lagi, dia sempat mengajar suaminya mengucap dan berzikir sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir tengah malam tadi.

BACA:  Mamat Khalid Meninggal Dunia

“Perwatakan arwah ceria seperti biasa. Malah, sebelum kejadian itu, suami cukup teruja melayan tetamu di kafe Sarang Art Hub.

“Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan. Cuma, suami memang sibuk dengan kerja penggambaran. Satu demi satu projek diusahakan hingga saya ajak bercuti pun ditolak. Selepas ketiadaannya, baru saya sedar dia seolah-olah sudah tahu tidak punya banyak masa.

“Disebabkan itu, dia berusaha menyelesaikan projek yang sudah dirancang hingga sanggup mengorbankan masa rehat dan mengambil ringan soal kesihatannya,” katanya.

Dalam pada itu, Hasmah terkilan arwah suami tidak sempat menyiapkan drama yang mengangkat kisah dongeng rakyat dimana sudah separuh persiapan dan ramai pelakon mahu membintangi drama berkenaan.

Arwah pernah pergi ke kedai buku untuk mencari karya berkaitan kisah dongeng rakyat. Sebaliknya, apa yang ditemui adalah kisah dongeng luar negara yang dialih ke Bahasa Melayu.

“Kecewa dengan situasi itu dan dengan niat mengangkat kembali cerita rakyat, timbul idea untuk menerbitkan drama bersiri 15 episod berjudul Hikayat Dongeng Rakyat Malaysia.

“Persiapan sudah separuh dan ramai pelakon menyatakan persetujuan terbabit dalam drama itu. Malangnya, arwah pergi sebelum sempat menyiapkan hasil kerjanya itu,” katanya.

Terdaulu, Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenar, Mohamad Mohamad Khalid, 58, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Slim River, kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.