fbpx

Awie Diperintah Bayar RM80,000 Kepada Bekas Isteri

Penyanyi Datuk Awie diperintah membayar ganti rugi sebanyak RM80,000 kepada Rozana Misbun atas kecederaan yang dialami bekas isterinya itu tujuh tahun lalu.

Mahkamah Rayuan Putrajaya menolak rayuan Awie atau nama sebenarnaya Ahmad Azhar Othman dan mengekalkan perintah Mahkamah Sesyen serta Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Rozana.

BACA: Awie Terima Mesej Terakhir ‘Love You Bro’ Daripada Mamat Khalid

Katanya, jumlah bagi ganti rugi kecederaan dan ganti rugi teruk adalah adil dan munasabah dengan mengambil kira kecederaan dialami serta lokasi kejadian berlaku.

Pada September 2018, Mahkamah Sesyen memerintahkan Awie membayar RM30,000 dan RM50,000 kepada Rozana bagi ganti rugi kecederaan dan ganti rugi teruk.

Terdahulu, Rozana telah memfailkan saman sivil pada 2017 terhadap Awie memohon ganti rugi bagi kecederaan yang dialaminya akibat dipukul pelakon itu yang didakwa berlaku di tiga lokasi termasuk Permodalan Nasional Berhad (PNB) di Jalan Tun Razak pada 2014.

Rozana selaku plaintif, memfailkan saman menuntut ganti rugi untuk kecederaan dialaminya termasuk keretakan dua tulang rusuk, lebam di muka dan beberapa bahagian lain.

Pada 4 Julai 2014, Awie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Rozana di rumah mereka di Ukay Perdana, Hulu Klang.

Bagaimanapun, pada 7 Mac 2016, Awie dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan itu selepas kedua-dua pihak bersetuju kes diselesaikan dengan cara Awie membayar kompaun RM10,000 dan memohon maaf di mahkamah terbuka.

Awie dan Rozana mendirikan rumah tangga pada 20 Jun 2005 kemudian bercerai pada 1 November 2014. Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata, Putra Ahmad Merrah, Putra Ahmad Rezzki, dan Puteri Qasseh Antasha.