fbpx

Awi Rafael Bersyukur Selamat Selepas Alami Kemalangan

Selepas mengalami kemalangan jalan raya tempoh hari, Awi Rafael meluahkan rasa bersyukurnya apabila diberi peluang sekali lagi untuk terus bernafas dan melalui kehidupan sehari-harian. Pada masa yang sama, beliau juga akui kejadian malang yang berlaku ke atas beliau pada bulan lalu turut memberikan seribu satu hikmah buat dirinya.

BACA: Awi Rafael Stabil Selepas Kemalangan

“Selepas kejadian motosikal saya dilanggar sebuah kereta bulan yang lalu, saya sangat bersyukur masih diberi peluang untuk terus bernafas. Alhamdulillah, Allah SWT lindungi dan panjangkan umur saya lagi. Malah rezeki saya dalam bidang seni semakin melimpah ruah. Saya juga diberi kepercayaan untuk menghasilkan karya-karya baru”

“Terbaru lagu duet bersama Altimet iaitu Kalau Aku Kaya juga turut mendapat pengiktirafan selepas berjaya mencecah satu juta muat turun di laman internet. Semua ini seakan satu hikmah besar buat kehidupan saya yang semakin meningkat usia,” katanya kepada portal Astro Gempak berhubung kejadian malang yang menimpa baru-baru ini.

Terdahulu, Awi dikatakan mengalami kemalangan jalan raya apabila kenderaanya dilanggar oleh sebuah kereta kira-kira jam 1 pagi berdekatan dengan kawasan perumahannya di Kota Damansara. Kejadian malang itu turut menyebabkan Awi diseret oleh kereta berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian kaki beliau.

Bagaimanapun menurut Bahagian Promosi Domestik Warner Music, Anne Mokhtar, Awi dikatakan stabil selepas dimasukkan ke hospital dan menerima rawatan sekitar jam 3 pagi selepas kejadian berlaku. Sementara itu Awi akui, Ramadhan tahun ini dianggap lebih istimewa dan bermakna buat dirinya selepas melalui pelbagai perubahan dalam hidupnya. (rkty/w)