fbpx

Awal Ashaari Mahu ‘Berkurung’ Pada Hari Raya

Meskipun kerajaan memberikan kelonggaran dalam perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun Awal Ashaari, tidak teruja untuk keluar rumah. Menurut Awal dia tidak yakin dengan situasi diluar selagi vaksin belum ditemui.

Awal berkata, sebelum ini dia mengakui seronok apabila dapat keluar rumah, namun kini bimbang dengan penularan wabak COVID-19. Katanya lagi, setiap kali keluar membeli keperluan dia akan melakukan secepat mungkin dan akan terus pulang.

BACA: Awal Ashaari, Scha Alyahya Menang Saman RM345,305

“Saya terpaksa bergegas ke sebuah pusat membeli-belah untuk membeli dakwat mesin pencetak untuk kerja sekolah anak, Lara Alana. Jika sebelum ini, rasa seronok bila dapat keluar rumah, tetapi sekarang perasaan sedikit berbeza sejak wabak COVID-19 menular. Saya buat pembelian secepat mungkin dan terus pulang ke rumah.

“Keadaan sekarang agak merumitkan apabila dikehendaki memakai topeng wajah dan berkongsi maklumat diri sebelum memasuki pusat membeli-belah.

“Bagi saya, agak melecehkan untuk seorang selebriti apabila perlu berkongsi maklumat, nombor telefon dan sebagainya. Bukan apa, saya cuma bimbang sekiranya ‘privasi’ terdedah, tetapi saya faham mereka juga perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya kepada BH Online.

Awal berkata keadaan hari ini sangat berbeza disebabkan pandemik COVID-19. Kebiasaannya mengambil masa singkat untuk membeli keperluan tetapi kini berbeza apabila orang ramai perlu beratur panjang dan menulis maklumat peribadi.

“Sepatutnya saya hanya memerlukan sekitar lima minit membeli dakwat mesin pencetak, tetapi ia menjadi berjam-jam. Nak masuk ke kedai kena beratur panjang, selain perlu menulis maklumat peribadi dan sentiasa memakai topeng muka.

“Jika tiada topeng, tidak dibenarkan masuk ke pusat membeli-belah. Saya lihat ia sudah menjadi aksesori wajib seperti telefon bimbit dan kunci kereta,” katanya.

Melihat situasi wabak COVID-19 yang belum pulih sepenuhnya, Awal berkata dia memilih untuk menyambut Syawal di rumah sahaja kerana bimbang dengan kesihatan anaknya yang masih kecil.

Bagaimanapun, dia dan isteri tetap akan berkunjung ke rumah keluarga dan mentua, tetapi dalam keadaan berhati-hati kerana orang tua yang uzur.