Pelakon yang kini namanya semakin meningkat naik, Atikah Suhaime menjelaskan yang dia tidak takut digosipkan bersama dengan pelakon seangkatannya, Hafreez Adam yang turut berlakon bersama dalam slot Akasia berjudul Bila Hati Berbicara.

Baginya dia yakin bahawa mereka berdua hanyalah berkawan biasa dan tidak lebih daripada itu.

“Tak takut digosipkan kerana yakin kami hanya berkawan sahaja dan tidak ada apa-apa perasaan antara kami,” katanya yang ditemui semasa tayangan filem terbaru Kasut Ku Kusut.

Tambahnya lagi, dia senang berkawan dengan Hafreez disebabkan lelaki itu menjadi dirinya sendiri dan ikhlas untuk berkawan dengan dirinya.

“Saya senang berkawan dengannya kerana dia jadi diri sendiri dan dia ikhlas. Jika ada orang mahu gosip antara saya dan dia, gosiplah sebab saya nak buat macam mana?” ujarnya berseloroh.

Sementara itu, Atikah Suhaime buat pertama kalinya bergandingan bersama Shaheizy Sam dalam filem Kasut Ku Kusut yang akan ditayangkan pada 18 Disember ini. (rtky/hfz)