fbpx

Ashraf Muslim Seronok Bergaul Dengan Kluster Tabligh Di Wad

Disahkan positif COVID-19 dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh sejak Ahad lalu, Ashraf Muslim menyifatkan ada hikmahnya mengapa dia dipilih terkena jangkitan wabak tersebut. Menurut Ashraf, banyak benda yang dipelajari ketika dirawat di hospital berkenaan.

Ashraf berkata sepanjang berada di wad, dia dapat menunaikan solat secara berjemaah dan mengisi waktu dengan pelbagai aktiviti keagamaan bersama pesakit lain. Ujarnya lagi, dia mengambil peluang itu untuk bermuhasabah diri.

BACA: Ashraf Muslim Disahkan Positif COVID-19

“Selama ni saya tak tahu, apabila dah kena baru saya faham kenapa Allah pilih saya sebagai orang yang kena COVID-19. Banyak saya belajar benda menarik di sini, banyak hikmah Allah berikan. Setiap hari dapat solat jemaah tepat waktunya dan ada ceramah.

“Kalau dirumah, tak sempat itu semua, duduk seorang tengok televisyen sahaja. Dekat sini kawan-kawan semua baca Al-Quran, cerita pasal agama dan kebesaran Allah. Senang cerita sini macam masuk summper camp, kem bina semangat,” katanya.

Berpeluang bergaul dengan kluster tabligh Sri Petaling, Ashraf mengakui tenang berada disana. Malah, Ashraf turut memperbetulkan tanggapan netizen mengenai pesakit di kalangan kluster jemaah tabligh bahawa merekalah yang menghidupkan wad dengan nilai Islam.

“Disini ramai pesakit daripada kalangan jemaah tabligh, mereka tunjuk cara dakwah dan buat hati kita tenang. Sebab itu Allah pilih mereka sebagai golongan terawal dapat COVID-19. Ramai orang salahkan mereka, ini jawapan saya nak beritahu.

“Di wad ini ada berpuluh pesakit daripada jemaah tabligh dan mereka ini menghidupkan hospital dan wad dengan nilai Islam, tunjuk kepada kita cara dakwah. Setiap wad diazankan oleh pesakit. Ada tabligh, ada pelajar madrasah. Banyak benda yang kita belajar,” katanya.

Dalam pada itu, Ashraf berkata sebelum disahkan positif COVID-19, dia tidak mengalami sebarang gejala sehinggalah hari ke-12 jangkitan. Selepas empat hari dimasukkan ke hospital barulah dia mula sakit tekak dan sesak nafas.