fbpx

Ashraf Muslim Sedih Gagal Pikul Tugas Ketua Keluarga Ketika COVID-19

Sebelum ini hampir 25 hari dirawat dan dikuarantin selepas disahkan positif COVID-19, Ashraf Muslim terkilan kerana gagal melaksanakan tugasnya sebagai ketua keluarga sepanjang berada di wad April lalu.

Ashraf berkongsikan ketika dia berada di wad, kemalangan menimpa salah seorang anaknya yang menerima 40 jahitan di jari akibat tersepit pintu. Insiden benar-benar mencemaskannya dan sedih kerana tiada bersama keluarga ketika itu.

BACA: Ashraf Muslim Syukur Dipilih Allah Sebagai Pesakit COVID-19

“Saya akan risau apabila ada antara ahli keluarga saya sakit ketika mana saya sedang dikuarantin di hospital kerana COVID-19.

“Misalnya salah seorang anak saya terpaksa menerima 40 jahitan mikro di jarinya akibat tersepit pintu dan insiden itu berlaku ketika saya dalam wad.

“Agak takut sebenarnya apabila saya dalam keadaan sedemikian dan tak boleh menjalankan tanggungjawab saya sebagai ketua keluarga. Memang ketika itu ada rasa terkilan dan sedih,” katanya kepada Astro Gempak.

Dipilih Allah sebagai pesakit COVID-19 benar-benar membuka matanya dan belajar banyak perkara tentang kehidupan. Katanya, sebenarnya bukan COVID-19 yang perlu ditakutkan tetapi amalan sepanjang kita hidup.

“Bayangkan lebih 2 bulan saya tak bertemu dengan keluarga dan memang sangat sedih sampaikan menangis sebab rindu.

“Sepanjang tempoh itu saya melalui satu perjalanan baharu bahawa bukan COVID-19 yang perlu kita takutkan tetapi amalan dan iman kita kepada Allah. Ini dugaan Allah supaya kita sedar sejauh mana kita dengan-Nya,” katanya.