fbpx

“Arwah Teringin Jadi Pengawal Peribadi Agong”

Hari ini kita dikejutkan dengan pemergian anak pelakon veteran terkenal, AR Badul iaitu Allahyarham Mejar Zahir Armaya yang meninggal dunia selepas terkena tembakan ketika membuat aksi gimik sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah, awal pagi tadi.

Sementara itu, AR Badul melahirkan rasa terkejut di atas pemergian anaknya namun reda dengan ketentuan Allah. AR Badul turut menyifatkan anaknya itu seorang lelaki yang gagah dan berani.

BACA: Anak Ar Badul Meninggal Dunia Terkena Tembakan

Menurutnya, arwah sememangnya bercita-cita untuk menjadi tentera sejak kecil lagi dan pernah meluahkan hasranya untuk menjadi pengawal peribadi Yang di-Pertuan Agong.

“Sejak kecil, Allahyarham menunjukkan sifat sukakan cabaran dan lasak. Kami sekeluarga tidak hairan apabila bidang ketenteraan menjadi pilihannya.

“Kami jarang berjumpa disebabkan tugasannya, namun selalu berhubung. Kali terakhir kami bertemu adalah enam bulan lalu. Sepatutnya dia datang ke perhimpunan keluarga di Kemensah, sebelum Ramadan lalu, tetapi Zahir ditugaskan ke Indonesia.

“Dari segi peribadi, apabila berbual dengan saya arwah tampak serius. Tetapi daripada kawan rapatnya, saya tahu Zahir pun bersikap ‘gila-gila’ macam saya,” katanya ketika dihubungi BH Online.

Kata beliau lagi, jenazah anaknya akan diterbangkan ke Kuala Lumpur, jam 7 malam ini, sebelum dibawa ke Ipoh, Perak, untuk dikebumikan malam nanti.

Difahamkan, tembakan  berkenaan tersasar sedikit dan melepasi baju kalis peluru yang dipakai oleh arwah. Dalam pada itu, isterinya Nour Shafinar Harun memberitahu arwah suaminya sempat menghantar mesej kepadanya mengatakan ini merupakan persembahan terakhirnya.

Allahyarham yang juga pegawai komando 11 Rejimen Gerak Khas meninggalkan seorang balu dan tiga cahaya mata.