fbpx

Arwah Sandra Dianne Minta Baju Putih Sebelum Kemalangan

Berkongsikan kenangan terakhir bersama arwah, ibu kepada penyanyi Sandra Dianne berkata pada hari sebelum terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) berhampiran Subang Jaya, Sabtu lalu, anaknya meminta baju putih lengan panjang.

Ibunya, Nor Syakinah berkata anaknya itu mahu membawa baju tersebut ke latihan penuh Big Stage 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Lebih meruntun jiwa, anaknya meminta mendoakan untuknya untuk membuat persembahan.

BACA: Penyanyi & Peserta Big Stage, Sandra Dianne Meninggal Dunia

“Pagi sebelum dia ke latihan penuh, saya kejutkan untuk dia mandi sebelum air tiada. Selepas mandi dan bersiap, seperti biasa dia akan luangkan masa dulu bersama adiknya.

“Selepas itu dia salam saya dan ayah dia. Sewaktu keluar bilik dia patah balik dan tanya saya jika ada baju putih lengan panjang. Saya cakap tiada, cuma yang ada hanya inner warna putih.

“Dia cakap tidak apa. Saya macam tak puas hati, saya cari lagi baju putih di almari lain dan jumpa. Dia pun bawa baju itu. Ketika itu perasaan saya sudah lain.

“Sebelum dia keluar rumah, saya tunggu di ruang tamu dan berikan dia kata semangat untuk buat persembahan terbaik. Dia pun minta saya doakan untuknya. Selepas salam dan peluk cium, saya pesan untuk memandu berhati-hati.

“Ketika dalam kereta, dia sempat cakap ‘bye mama, jangan lupa tutup ‘gate’. Itulah perbualan terakhir kami,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nor Syakinah, jenazah sempat dimandi, kapan dan disembahyangkan di Hospital Putrajaya sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Kg Kauluan, Tuaran, Sabah dan sudah selamat dikebumikan lewat petang tadi.

“Sebagai ibu mestilah sedih sebab kehilangan anak yang menyayat hati. Dia hilang sekelip mata.

“Alhamdulillah, segala urusan hari ini dipermudahkan Allah SWT. Semuanya lancar dari hospital sehinggalah tiba di Sabah petang tadi.

“Di hospital jenazah dimandi, dikapan dan disembahyangkan. Setibanya di kampung pun jenazah disembahyangkan sekali lagi,” katanya.