Tengah malam tadi, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan pemergian pengarah dan penerbit berbakat besar, Allahyarham Mamat Khalid akibat serangan sakit jantung.

Menurut anaknya, Mohd Khalid Amen Mohamad, arwah bapanya sepmat membuat persembahan di hadapan ahli keluarga di kafe miliknya Sarang Art Hub.

BACA: “Arwah Ceria Seperti Biasa, Teruja Layan Tetamu Di Kafe”

Khalid berkata, Allahyarham yang bermain keybord memainkan lagu Apokalips sebelum tiba-tiba terdiam dan rebah.

“Kami terus terpa ke arahnya apabila tiba-tiba papa terdiam. Dia tidak mengadu sakit apa-apa pun ketika itu.

“Kami terus hubungi ambulans dan akhirnya papa menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke hospital. Papa memang ada sakit jantung,” katanya.

Dalam pada itu, anaknya berkata Allahyarham sepatutnya akan memulakan penggambaran untuk telemovie bertajuk ‘Kampung Pisang Berbuah Dua Kali’ minggu hadapan.

Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Slim River, Perak, kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.