fbpx

Arwah Benjy Khatam Al-Quran, Dekatkan Diri Dengan Allah Dalam Penjara

Hari ini industri hiburan tanah air menerima berita duka apabila pelakon berbakat besar, Benjy Ibrahim dilaporkan meninggal dunia di hospital di Medan, Indonesia.

Pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty amat bersedih di atas pemergian rakan baiknya itu namun reda Allah lebih menyayanginya. Bagaimanapun, Ellie sedih tidak dapat menghulurkan bantuan kepada arwah Benjy sejak kebelakangan ini.

BACA: Benjy Meninggal Dunia Di Medan

“Arwah Benjy beritahu saya keadaannya batuk hingga keluar darah. Jadi, saya mengirimkan sedikit bantuan kewangan setiap bulan, cuma saya tidak dapat membantu sejak kebelakangan ini. Ini kerana saya tidak mempunyai banyak ‘job’ sejak pandemik COVID-19 menular, tahun lalu.

“Saya sedih, apatah lagi, memikirkannya arwah akan disemadi di Medan, Indonesia sekiranya meninggal dunia. Mendengar berita pemergiannya membuatkan hati saya remuk.

“Arwah menghubungi saya, minta ampun dan minta halalkan segala-galanya, minggu lalu. Saya tidak sangka itu petanda arwah akan pergi,” katanya kepada BH Online.

Sudah menganggap Benjy sebagai adik, Ellie berkata dia sudah berjanji dengan arwah akan menjemputnya di Medan untuk dibawa pulang ke Malaysia apabila dibebaskan kelak.

“Arwah seperti adik saya. Bagaimana saya menyayangi arwah ibunya, begitu juga sayang saya pada arwah. Arwah ibunya banyak membantu membentuk saya dalam menghidupkan karakter lakonan.

“Besar harapan saya melihat arwah memulakan kehidupan baharu apabila dibebaskan. Saya juga mahu arwah membuat kemunculan semula dalam industri lakonan, namun, hasrat saya tidak kesampaian,” katanya.

Menurut Ellie lagi, dia sentiasa memberikan kata semangat kepada arwah yang sudah menjalani hukuman penjara tiga tahun. Ujarnya, arwah banyak habiskan masa dengan melakukan amal ibadah di penjara.

“Alhamdulillah, arwah banyak berubah dan menghabiskan masa mendekatkan diri dengan Allah SWT. Arwah beritahu sudah khatam al-Quran, bersolat, berpuasa dan sebagainya,” katanya.

Allahyarham Benjy atau nama sebenarnya, Khaeryll Benjamin Ibrahim, 43, menghembuskan nafas terakhir akibat serangan asma di Hospital Royal Prima, Medan, jam 11 pagi tadi.

Arwah Benjy sedang menjalani hukuman selama 11 tahun, tiga bulan di Penjara Tanjung Gusta atas kesalahan memiliki dadah sejak 2017.