fbpx

“Artis Sekarang Senang Buat Duit, Berani Mengaku Jutawan”

Ramai selebriti di negara ini semakin berani tampil mengaku diri mereka kini bergelar jutawan, pelakon, penerbit dan ahli perniagaan, Datuk Rosyam Nor menghormati tindakan mereka kerana itu adalah hak masing-masing.

Namun, Rosyam berkata bagi dirinya jika masih ada banyak hutang yang perlu diselesaikan belum masanya lagi untuk gelaran berkenaan. Jelasnya, ada kebaikan dan keburukan jika berani mengaku sudah bergelar jutawan.

BACA: Walaupun 10 Minit Perjalanan, Rosyam Nor Tak Balik Kampung Beraya

“Pada saya terpulang mereka untuk mengaku diri sudah bergelar jutawan kerana berjaya dalam perniagaan diusahakan. Untuk saya, cukuplah hanya dikenali ahli perniagaan yang aktif dalam bisnes.

“Gelaran jutawan atau tidak itu, biarlah kerana difinisi saya untuk bergelar jutawan, seseorang itu sudah pasti memiliki wang tunai atau simpanan berjumlah jutaan ringgit. Lagi pun, apabila berani mengaku sudah jutawan semestinya ada pro dan kontra.

“Dari aspek pro, boleh kita lihat kejayaan sudah jutawan itu mampu dijadikan inspirasi orang ramai untuk lebih berusaha. Manakala, kontranya ialah perihal keselamatan yang memerlukan kita lebih berhati-hati dan waspada,” katanya.

Kata Rosyam lagi, peluang selebriti masa kini untuk mendapat kehidupan mewah agak mudah kerana ada pelbagai cabang platform untuk mereka menjana pendapatan asalkan rajin berusaha.

“Sekarang, jika seseorang selebriti itu rajin berusaha pasti dia akan berjaya. Umpamanya, menceburi perniagaan, aktif di platfom media sosial serta digital, termasuk ada ramai peminat.

“Saya dapati, buat ‘review’ produk di Instagram pun selebriti dibayar. Begitu juga, kandungan video di saluran YouTube. Pendek kata, cabang untuk peroleh pendapatan lain itu memang ada banyak,” katanya.