fbpx

Aril AF Akui Kecewa Lagu Baru Tidak Banyak Diterima Stesen Radio Lain

Penyanyi yang mulai popular menerusi lagu Menatap Matamu, Aril (AF7) atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus, 28 tahun mengakui agak kecewa lagu barunya tidak dimainkan di stesen radio swasta yang lain.

Akui Aril yang kini sudah tiga bulan menjalankan tugas sebagai juruhebah radio Era FM yang keudara setiap hari Isnin hingga Jumaat pada jam 8 malam hingga 12 malam dia berasakan artis sepertinya patut diberi peluang.

Di sebalik kekecewaan itu ujar Aril yang kini tampil duet buat kali kedua bersama penyanyi yang berasal dari Indonesia, Terry atau nama sebenar Terryana Fatiah, 29 tahun apabila lagunya dapat dimainkan di Era FM ianya adalah satu bonus untuk dirinya.

“Sejujurnya saya kecewa lagu baru saya tidak dimainkan apatah lagi setelah beberapa tahun tidak keluarkan single sendiri. Terima kasih diucapkan kerana kini saya bekerja bersama mereka (Era FM) secara tidak langsung boleh gunakan medium tersebut untuk mempromosi lagu baru”

Lagu Tulus yang kini sudahpun dimainkan di Indonesia dan mendapat sambutan dari pendengar lagu bergenre balada merupakan duet kedua Aril selepas lagu Kau & Aku bersama Mila Jirin sebelum ini yang mana Aril telah dipilih sendiri oleh Terry kerana suara Aril yang lebih menyerlah berbanding tiga pilihan lain.

“Selepas mendengar suara Aril saya dapat merasakan emosinya sampai dan jangkaan saya apabila kami berduet amat tepat, dia membawakan lagu itu penuh emosi,” ujar Terry yang di temui di Ben’s Publika, semalam.

Di dalam perkembangan lain, album penuh Aril AF7 dijangka bakal dipasarkan pada penghujung tahun depan dan kini masih lagi di dalam proses pembikinan.