fbpx

Aprena Manrose Jalani Rawatan Kesuburan, Sedang Belajar Berhijab

Sudah empat tahun mendirikan rumah tangga, pelakon Aprena Manrose mengakui tertekan apabila belum lagi dikurniakan cahaya mata.

Bagaimanapun, Aprena atau nama sebenarnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman berkata dia belum pernah berdepan tekanan emosi dan ramai yang memberikan kata-kata sokongan terhadapnya.

BACA: “Salah Tetap Salah, Tak Wujud Istilah Pertahankan Kakak”

“Sudah tentu saya tertekan kerana masih belum dikurniakan anak walaupun sudah lama berkahwin. Saya memang inginkan anak, tetapi masih belum ada rezeki lagi. Saya percaya kepada segala aturan Allah.

“Alhamdulillah, ramai yang memberi kata dorongan dan doa yang baik-baik,” katanya.

Dalam pada itu, Aprena berkongsikan dia kini menjalani rawatan kesuburan di sebuah hospital swasta sejak bulan lalu dan memohon orang ramai mendoakan agar dipermudahkan dikurniakan zuriat.

“Saya juga telah menjalani rawatan kesuburan di sebuah hospital swasta pada bulan lalu dan masih diteruskan untuk bulan ini.

“Jika saya berjaya mendapatkan anak saya akan kongsi berkenaan rawatan yang dibuat. Sekarang saya hanya mohon doa agar dikurniakan rezeki anak,” katanya.

Sejak kebelakangan ini, penampilan Aprena yang dilihat berhijab mengundang tanda tanya netizen. Aprena berkata dia dalam proses belajar sejak Ramadan lalu namun mengakui belum berhijab sepenuhnya.

“Ya, saya sedang belajar untuk bertudung,” kata Aprena, 28, yang belajar berhijab sejak Ramadan lalu. Sebab itu, saya tidak mahu bercakap apa-apa (tentang berhijab) kerana tidak tahu bagaimana masa depan.

“Saya masih terima tawaran lakonan yang tidak bertudung sebab memang sudah dijanjikan sebelum ini,” katanya.

Aprena mendirikan rumah tangga Mohd. Afiq Hazman pada tahun 2016. Untuk rekod, Aprena merupakan anak kepada Raja Dangdut, Iwan yang kini sudah meninggalkan dunia dangdut dan beralih ke muzik ketuhanan.