fbpx

“Apa Yang Saya Buat Kali Ini, Memang Tak Dapat Dimaafkan”

Penyanyi Aliff Aziz memohon maaf kepada isterinya, Bella Astillah di atas apa yang berlaku menerusi podcast bersama The Commonfolks SG semalam.

Menerusi temu bual itu, Aliff turut mengucapkan terima kasih di atas perkahwinan mereka selama ini serta kasih sayang Bella. Aliff turut berterima kasih kepada isterinya kerana melahirkan anak-anak yang comel buat dirinya.

BACA: Lebih Sebulan Tak Contact, Aliff Aziz Jadi Takut Nak Dengar Suara Bella Astillah

“Untuk Bella, sejak benda ni berlaku saya belum dapat bercakap dengan awak lagi. Bukan saya tak nak cakap tapi saya takut dengan apa yang saya akan rasa. Dan benda tu akan bawa saya kembali ke waktu-waktu saya menyesal dulu.

“Terima kasih untuk perkahwinan ini, terima kasih untuk kasih sayang awak. Terima kasih dah melahirkan anak-anak yang comel untuk saya. Pada saat ini, bila saya tengok cermin saya nampak seorang lelaki yang gagal,” katanya.

Aliff mengakui tiada siapa mampu membuatkan dirinya rasa sempurna seperti yang dilakukan oleh Bella serta meletakkan kesalahan itu pada dirinya kerana tidak menghargai isterinya itu.

“Apa yang saya buat kali ini, memang tak dapat dimaafkan. Saya kena terima hakikat yang saya mungkin akan kehilangan keluarga saya selamanya. Tapi Bella layak untuk bahagia dan mungkin Bella tak dapat kebahagiaan tu bila bersama saya,” katanya.

Dalam pada itu, Aliff turut memohon maaf sepanjang tujuh tahun perkahwinan mereka serta turut meminta maaf kepada ibu bapa mentuanya di atas apa yang berlaku.

“Kalau waktu boleh diputar, saya akan betulkan kembali tapi itulah, hidup tidak begitu. Saya kena teruskan hidup. Saya doakan semoga awak bahagia. Saya harap awak juga dapat doakan yang terbaik untuk saya, keluarga saya dan hidup saya akan datang.

“Kepada Adrean dan Ara, kalau kamu tengok video ni, daddy minta maaf sangat-sangat. Banyak benda yang tak sepatutnya berlaku. Daddy tak sepatutnya..,” katanya.

SUMBER: Ohmedia & The Commonfolks SG