Baru-baru ini hangat diperkatakan apabila ramai pelakon meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir pendatang baharu seolah tidak serius berlakon.

Bagaimanapun, penerbit dan pelakon Datuk Ziela Jalil tidak kisah golongan Instafamous menjadi pelakon. Malah, sebagai penerbit dia perlu ikut dengan apa yang penonton mahukan.

BACA: Ziela Jalil Tak Tolak Rezeki Jika Dikurniakan Anak

“Rezeki masing-masing di tangan Allah. Contohnya saya jual kuih dan orang lain pun jual kuih, masing-masing ada rezeki. Saya sebagai penerbit kena ikut apa yang penonton nak.

“Kalau mereka berikan keuntungan kepada penerbit dari segi ‘rating’ dan pulangan tentulah saya ambil. Kita tak boleh buat cerita syok sendiri dan kena ikut apa yang penonton mahu,” katanya.

Dalam pada itu, Ziela berkata pengarah dan juga pelakon lain juga perlu memberi sokongan terhadap Instafamous yang berlakon untuk menjayakan watak.

“Kalau betul pun orang itu tak boleh berlakon, pengarah dan pelakon lain kenalah sokong dan tolong dia supaya dapat hidupkan watak.

“Kita perlukan orang-orang yang ada permintaan untuk dapatkan ‘ranking’. Ia adalah keperluan pada masa ini. Saya percaya mereka juga bukan main-main untuk bergelar pelakon. Sudah pasti mereka akan serius memperbaiki mutu lakonan sehingga tahap terbaik,” katanya.

Sementara itu, Ziela turut memberi teguran kepada pelakon baharu supaya tidak sombong terhadap pelakon senior, meskipun hanya memberi senyuman.

“Kami bukan nak sangat dihormati tapi cuma keprihatinan terhadap kewujudan kami. Kadang-kadang dengan bagi senyuman sudah buat kami sebagai pelakon senior berbesar hati.

“Zaman saya apabila jumpa pelakon lama, kami akan tegur serta salam cium tangan,” katanya.