fbpx

Anugerah Juara Lagu Ke 27 — Sekitar Majlis Penghargaan & Penyerahan Cek

Anugerah Juara Lagu ke-27 telah melakar satu lagi sejarah dalam aspek kreativiti penganjurannya apabila berjaya meraih tontonan 6 juta penonton ketika disiarkan secara langsung pada 6 Januari 2013 lalu.

AJL27 juga memperlihatkan antara penganjuran terbaik sempena meraikan ulang tahun ke 27 dengan memartabatkan lagu Terukir Di Bintang ciptaan sepenuhnya penyanyi Yunalis Zarai sebagai juara.

Sempena dengan kejayaan penganjuran AJL27 baru baru ini, satu majlis penghargaan dan penyerahan cek kepada para pemenang diadakan bagi meraikan para finalis, tenaga kerja dan juga pihak media yang telah memberikan publisiti secara meluas kepada acara tersebut.

Di samping itu, majlis ini turut dimeriahkan dengan persembahan oleh pemenang persembahan terbaik AJL27, Black & RJ menerusi lagu mereka Teman Pengganti serta pemenang vokal terbaik dan tempat ketiga, Hafiz dengan lagunya Ku Akui.

Seterusnya, pemenang tempat kedua, Azlan & The Typewriter juga tidak ketinggalan mempersembahkan lagu mereka bertajuk Idola buat tetamu yang hadir. Majlis ini pasti tidak akan lengkap tanpa persembahan juara, Aizat Amdan tampil dengan lagu Terukir Di Bintang ciptaan sepenuhnya oleh Yuna.

Majlis penyerahan cek kepada para pemenang AJL27 telah disempurnakan oleh Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima. Hadiah yang dimenangi oleh para pemenang adalah seperti berikut:-

JUARA LAGU KE 27 (Lagu Terukir Di Bintang) Trofi dan Wang Tunai RM 35,000
NAIB JUARA LAGU KE 27 (Lagu Idola) Trofi dan Wang Tunai RM 15,000
TEMPAT KETIGA (Lagu Ku Akui) Trofi dan Wang Tunai RM 12, 000
PERSEMBAHAN TERBAIK (Lagu Teman Pengganti) Trofi dan Wang Tunai RM 10,000
VOKAL TERBAIK (Hafiz) Trofi dan Wang Tunai RM 10,000