fbpx

Anuar Zain Sebak Kenang Rakan Lama Mangsa Tragedi MH370

Penyanyi popular, Anuar Zain sentiasa terkenangkan dua rakan lamanya iaitu Ketua Pramugara, Andrew Nari dan penyelia, Patrick Francis Gomes yang berada dalam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang sejak 8 Mac lalu.

Bercakap kepada mStar Online, Anuar Zain mengakui walaupun hubungan mereka tidak begitu akrab namun mereka pernah bekerjasama dan kebaikan kedua-dua lelaki tersebut sentiasa diingatinya sepanjang berkhidmat dengan syarikat penerbangan itu dari tahun 1990 hingga 2000.

“Andrew banyak membentuk saya dalam menjadi seorang pramugara yang baik ketika itu dan dia seorang yang cukup merendah diri dan mesra berbanding orang lain. Manakala Patrick saya mengingatinya sebagai seorang yang cukup berdedikasi dan sangat mementingkan keselamatan penumpang ketika berada di udara”

Anuar Zain mengakui menangis sebaik sahaja mendapat tahu berita mengenai kehilangan pesawat tersebut & juga tertekan mengenangkan nasib yang menimpa kesemua 239 penumpang dan kru selain sentiasa berharap mereka dapat pulang dengan selamat.

“Sebaik sahaja mendapat tahu kejadian itu air mata saya terus mengalir laju dan saya gagal menahan sebak. Ia adalah satu masa yang sukar bukan sahaja buat diri saya tetapi buat seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan keselamatan pesawat itu,” katanya.

Anuar Zain ditemui pihak media ketika majlsi sidang media pengumuman penundaan persembahan Minggu Setiausaha yang disertainya iaitu Terindah… Anuar Zain yang dijadualkan pada 8 April tetapi terpaksa ditunda kepada 29 April depan. (rtky/m)