Drama lakonannya, Melur Untuk Firdaus mendapat sambutan luar biasa, pelakon Anna Jobling mengakui menerima banyak tawaran selepas muncul dalam drama berkenaan.
Memetik BH Online, Anna bagaimanapun berkata dia tidak boleh tamak apatah lagi hanya boleh melakonkan satu watak utama sahaja dalam satu masa.
BACA: Tak Suka Digelar Mat Salih, Anna Jobling Bangga Asal Melaka
“Memang banyak tawaran diterima. Malah, ketika masih menjayakan penggambaran Melur Untuk Firdaus pun saya ada dapat ‘job’.
“Sekarang, saya sedang melakonkan watak heroin untuk drama 20 episod terbitan TV3 bersama Amar Baharin, iaitu Terima Kasih Cinta. Sebelum ini, watak sampingan. Jadi, tiada masalah untuk saya melakonkan empat hingga lima watak pada suatu masa,” katanya.
Meluahkan rasa syukur apabila ramai yang membuka mata serta melihat bakatnya, Anna berkata dia akan terus bekerja keras untuk memperbaiki mutu lakonannya.
“Akhirnya, ramai mula sedar. Saya memang bekerja keras untuk sampai ke tahap ini. Saya tidak percaya ramai penerbit yakin saya boleh bawa watak heroin. Saya sangat berterima kasih terutama kepada penerbit Melur Untuk Firdaus.
“Drama ini membuatkan saya betul-betul dikenali. Sebelum ini, saya berlakon sedikit-sedikit sahaja selain aktif dalam bidang peragaan,” katanya.
Dalam pada itu, Ana berkata dia tidak kisah dikenali sebagai Melur sekalisug membuktikan lakonannya membawa watak tersebut berjaya.
“Saya sangat bersyukur nama itu popular. Saya tidak kisah ramai panggil saya Melur. Ini secara tak langsung memberi makna bahawa peminat suka watak saya sebagai Melur,” katanya.