fbpx

Tak Suka Digelar Mat Salih, Anna Jobling Bangga Asal Melaka

Melihatkan wajahnya berdarah kacukan Melayu Inggeris, pasti ramai tidak menyangka pelakon Anna Jobling berasal dari Melaka.

Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman berkata ada peminat yang terkejut apabila mengetahui dia berasal dari negeri bersejarah itu.

BACA: Anna Jobling Tak Kisah Comot, Badan Penuh Lumpur

“Ramai terkejut apabila saya kongsi di Instagram Story kerap berada di Melaka. Ramai mesej tanya saya orang Melaka ke? Bila saya beritahu saya orang Melaka mereka terkejut kerana tidak menyangka.

“Setiap negeri mempunyai dialek dan cara percakapan tersendiri. Mungkin orang Melaka ni nampak kasar dan lantang dalam percakapan, tapi sebenarnya itu cara kami.
“Jika orang yang tak kenal mesti ingat kami macam tengah marah, tapi jangan risau kami sangat peramah. Walaupun saya dari Melaka, tapi saya tak membesar di sana,” katanya.

Dalam pada itu, Anna berkata dia sering pulang ke kampung ibunya di Melaka dan bangga mengakui bahawa dia berasal dari negeri itu. Katanya lagi, dia tidak melihat kesukaran membesar dalam dua budaya berbeza, namun mengakui perlu perbaiki lagi percakapan bahasa Melayu.

“Saya kerap pulang ke kampung ibu di sana dan kebanyakan saudara-mara saya memang ‘gaya’ orang Melaka. Saya okay sahaja berbual dengan mereka sebab dah terbiasa. Memang riuh dan seronok kalau dapat berjumpa. Saya bangga mengakui saya orang Melaka.

“Bagi saya tak susah pun membesar dalam dua budaya berbeza sebab saya dah biasa sejak kecil lagi. Lagipun kita di Malaysia, kalau saya membesar di luar negara mungkin agak mencabar.

“Saya kena belajar lagi perbaiki cara percakapan bahasa Melayu saya. Walaupun muka saya macam mat salih, tapi saya tak nak dikatakan mat salih, saya nak orang tahu saya ada darah Melayu dan bangga jadi orang Malaysia,” katanya.

Bapa Anna berasal dari United Kingdom bekerja sebagai jurutera di syarikat cari gali minyak, manakala ibunya berbangsa Melayu yang juga anak jati Melaka.