fbpx

Amyza Aznan Tuntut RM5 Juta Dari Peguam Zarina Anjoulie

Nampaknya konflik yang melanda pelakon Amyza Aznan serta Emelda Rosmila dengan seorang Zarina Anjoulie dilihat semakin panas. Sebelum ini Emelda Rosmila menuntut permohonan maaf dan ganti rugi lebih RM1 juta daripada Zarina.

Terbaru, kini giliran Amyza Aznan pula mengemukakan notis tuntutan permohonan maaf dan ganti rugi berjumlah RM5 juta namun dari peguam yang mewakili Zarina, Nurul Hafidzah Hassan.

BACA: Amyza Aznan Kecewa Pihak Zarina Anjoulie Tak Datang Serah Surat Saman

Difahamkan ia susulan tindakan peguam itu yang mengeluarkan kenyataan berunsur tohmahan dan fitnah yang merosakkan reputasi Amyza sebagai seorang selebriti di media sosial dan laporan media.

Amyza menerusi notis yang disampaikan melalui peguamnya itu menuntut permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari serta bayaran ganti rugi kerosakan.

Permohonan maaf itu perlu dilakukan di media sosial, penerbitan media serta sidang akhbar dan selepas itu barulah budi bicara akan dilakukan terhadap tuntutan ganti rugi itu.

Amyza berkata sekiranya gagal berbuat demikian dalam tempoh diberikan, pihaknya akan memfailkan saman di mahkamah.

Harian Metro melaporkan, Amyza yang ditemani peguamnya hadir ke pejabat Hafidzah di Shah Alam pagi tadi untuk menghantar notis tersebut namun peguam itu tiada di pejabat dan notis itu kemudian telah diserahkan kepada kakitangannya.

Menurut Amyza, Hafidzah menerusi laporan media telah memfitnahnya dia dan Emelda dengan mengatakan tindakan mereka adalah sebagai kempen pembunuhan karakter terhadap Zarina.

“Tuntutan ini dibuat bagi membersihkan nama. Selama ini semua sedia maklum saya mempunyai rekod bersih dalam industri hiburan.

“Kenyataan yang dilemparkan Hafidzah benar-benar menjejaskan reputasi saya dalam bidang seni. Apa yang dikatakan peguam itu adalah satu penghinaan dan fitnah. Apa yang saya lakukan ini adalah usaha saya untuk terus bertahan dalam industri seni hampir lebih dua dekad,” katanya.