fbpx

Amyza Aznan Kecewa Pihak Zarina Anjoulie Tak Datang Serah Surat Saman

Pelakon Amyza Aznan meluahkan rasa kecewa apabila pihak Zarina Anjoulie tidak hadir menyerahkan dokumen yang didakwa menuntut permohonan maaf dan pampasan sebanyak RM3 juta daripadanya.

Sebelum ini, Zarina Anjoulie telah memfailkan saman fitnah RM3 juta terhadap Amyza pada 23 April lalu berhubung kenyataan mengenai bantuan khusus untuk artis tempatan susulan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) daripada kerajaan.

BACA: Zarina Anjoulie Saman Fitnah Amyza Aznan RM3 Juta

Difahamkan, tiga hari lalu Amyza melalui media meminta pihak guaman yang mewakili Zarina untuk hadir bertemu dengannya jam 4 petang di Astro Bukit Jalil bagi menyerahkan dokumen yang didakwa belum lagi diterimanya.

Amyza dikatakan berdiam diri sehingga peguam yang mewakili Zarina, Nurul Hafidzah mengesahkan dia gagal memasukkan kehadiran di mahkamah sejak saman difailkan.

Tampil menjelaskan mengapa sebelum ini dia didakwa tidak memberi respon kepada tuntutan saman dan maaf dari pihak Zarina, Amyza berkata dia langsung tidak menerima apa-apa dokumen atau notis berikutan kes tersebut.

“Saya tidak respon kerana saya sendiri tidak menerima apa-apa dokumen atau notis tersebut. Sepatutnya dokumen itu sendiri diserahkan kepada saya. Mungkin mereka hantar ke alamat yang salah kerana saya menetap di Sepang bersama ibu saya,” katanya.

Amyza berkata lagi dia berharap agar pihak Zarina segera menyerahkan surat saman kepadanya untuk memudahkannya selesaikan apa sahaja isu yang dimulakan dari pihak Zarina sendiri.

Dalam pada itu, Amyza memberitahu dia tidak menyimpan perasaan dendam terhadap Zarina dan mahu terus memandang ke hadapan.