fbpx

Amir Tiada Masalah Tinggal Dengan Mertua

Baru sahaja mendirikan rumah tangga pada 14 Mac lalu, Amir Raja Lawak mengakui dia tidak menjadikan isu besar untuk dia tinggal bersama keluarga mertuanya di Paya Jaras, Sungai Buloh selepas hampir sebulan melangsungkan pernikahan.

BACA: Amir Raja Lawak dan Nur Intan Syafinaz Selamat Bergelar Suami Isteri

Malah menurut Amir, keluarga mertuanya sangat baik dan memahami kerjayanya sebagai seorang anak seni selain tidak menghalang dia dan isteri membina rumah tangga. Amir pun selaku pelawak pasti pandai ambil hati mertua, bukan?

“Keluarga mertua sangat memahami karier saya yang sering pulang lewat ke rumah dan kadang-kadang atas urusan perniagaan tidak menentu masa. Mereka faham dan sangat memberi sokongan buat kami berdua,” katanya kepada mStar Online.

Menurut pelawak ini, buat ketika ini, dia belum bersedia untuk berpindah kerana selesa tinggal bersama keluarga mertua selain memudahkan isterinya, Nur Intan Syafinaz Shaari, ke tempat kerja yang terletak di Damansara selain mengakui ada perubahan di dalam kehidupannya kini.

“Saya kini dah boleh memakai baju kemeja kerana sekarang dah ada orang tolong gosokkan dan sarapan pun isteri saya buat setiap hari, tidak perlu lagi saya habiskan duit di luar,” jelas Amir sambil mengakui sangat bahagia dengan kehidupan berumahtangga.

Majlis resepsi sebelah lelaki telah diadakan secara sederhana di Kelantan pada Khamis lalu dengan dihadiri saudara dan rakan-rakan terdekat sahaja. (rtky/s)