fbpx

Amelina Menangis Kerana Tekanan Di Konsert GV?

Konsert Gegarvaganza (GV) pada Ahad lalu, menjadi perhatian apabila penyanyi Amelina atau lebih mesra dipanggil ‘kak long’ menangis sebaik sahaja selesai membuat persembahannya. Dia mengakui puncanya adalah disebabkan masalah kesihatan dan hampir pengsan sepanjang persembahan tersebut.

BACA: Ratu Dangdut Amelina Akui Ada Lelaki Cuba Mendekatinya

“Saya mengalami masalah kesihatan dan hilang suara secara tiba-tiba semalam. Mungkin disebabkan saya terlalu memaksa diri saya. Saya akui tertekan dengan pertandingan ini terutama memikirkan orang sekeliling iaitu anak-anak, keluarga dan pengurusan yang yakin saya mampu melakukannya.

Tiga minggu yang sangat menyukarkan bagi saya apabila terpaksa mengeluarkan watak lain dalam diri saya. Saya terlalu letih dan mujur minggu depan lebih santai dan menyanyi lagu duet bersama rakan artis.

Saya sudah biasa menyanyi konsert 14 lagu tapi tekanan pertandingan sangat berbeza, satu lagu saya rasa tekanan seperti bawa 30 lagu, macam-macam nak kena fikir,” katanya semasa ditemui sebaik sahaja selesai persembahannya di Konsert Gegarvaganza minggu ke-3.

Meskipun mempunyai masalah kesihatan, Amelina dapat mendendangkan lagu tersebut dengan baik, buktinya dia sekali lagi mendapat kedudukan tempat pertama. Pada malam itu, Amelina telah menyanyikan lagu yang berjudul Segalanya Pasti, nyanyian asal Aida Agil.

Dalam pada itu, kumpulan Elite yang dianggotai oleh Azza, Linda Rafar dan Sasha telah tersingkir di akhir konsert. (rtky/h)