fbpx

Ratu Dangdut Amelina Akui Ada Lelaki Cuba Mendekatinya

Ratu dangdut Amelina, 44 tahun, mengakui ada jejaka yang cuba mendekatinya setelah dia kini bertukar imej dan hidupnya yang kembali solo. Namun dalam masa yang sama dia turut redha sekiranya ditakdirkan hidup tanpa suami.

BACA: Kembali Solo, Amelina Bebas Masalah Rumah Tangga

“Memang ada yang mendekati, tetapi biarlah mereka menjadi kawan sahaja. Saya mengharapkan seseorang yang ikhlas untuk menyayangi saya, anak-anak dan karier. Sehingga kini saya tidak nampak calon yang sesuai. Dulu, anak-anak saya boleh dikatakan kurang mendapat kasih sayang, jadi saya tidak mahu hal yang sama berulang kembali”

“Bagaimanapun, saya seorang yang sudah pasrah dengan kehidupan. Andai memang ditakdirkan hidup berseorangan, tidak mengapa. Sekiranya ada jodoh, biarlah ia menjadi penghujung yang terbaik dalam kehidupan saya,” katanya yang ditemui di sidang media konsert Fenomena D’Pop.

Amelina turut menafikan bahawa perubahan imejnya disebabkan faktor yang dikatakan dirinya sedang dilamun cinta.

“Bukan begitu, sebenarnya saya sudah kini bawah pengurusan Mind Order Sdn. Bhd., jadi mereka yang meminta agar saya membentuk imej baharu untuk lebih bersesuaian dengan kehendak industri sekarang. Lagi pun, ketika kemasukan semula dalam industri hiburan pada tahun 2014 dahulu, saya bagaikan hilang arah kerana industri dahulu dan sekarang sangatlah berbeza”

“Sejujurnya saya pun tidak menyangka akan membawa imej rambut perang dan beralun-alun seperti dulu. Mungkin ketika itu saya mahu cepat diterima semula dalam industri dan kelihatan lebih menonjol. Namun begitu, penampilan seperti ini membuatkan saya rasa lebih ringkas dan selesa, malah anak-anak pun gembira,” katanya kepada Rotikaya. (rtky/s)