Sebut saja nama Amelia Henderson, pasti ramai mengenali pelakon dan model ini yang sememangnya sudah mewarnai industri hiburan tanah air sejak kecil lagi.
Bagaimanapun, Amelia mendedahkan dia pernah menerima ugutan rogol oleh individu yang tidak dikenali ketika berusia 12 tahun.
BACA: Netizen Pertikai Kemenangan, Ini Respon Amelia Henderson
Berkongsi cerita tersebut, ugutan diterima melalui mesej pesanan ringkas (SMS) selepas bertukar-tukar nombor telefon dengan rakan acara Bintang Kecil.
“Ketika itu mana tahu tentang privasi jadi saya kongsi nombor telefon peribadi kepada kawan-kawan yang ada dekat situ. Entah macam mana, suatu hari saya terima SMS daripada seseorang yang tidak dikenali.
“Dia ugut yang dia tahu siapa saya, tahu dekat mana saya tinggal. Satu hari nanti, dia akan rampas saya daripada keluarga dan rogol saya sampai mati,” katanya kepada Kosmo.
Menurut Amelia, episod hitam tersebut sekaligus mematangkan dirinya untuk berdepan dengan segala kritikan dan cacian netizen di media sosial.
“Pengalaman ketika kecil itu membuatkan saya cukup terlatih untuk berdepan dengan kritikan netizen. Saya tidak kisah apa yang orang ingin cakap pasal saya tapi jangan sentuh apa-apa berkaitan keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, Amelia memberitahu dia tidak berkecil hati apabila ada netizen mempertikaikan isu kewarganegaraanya selepas memenangi anugerah Asia Model Awards bagi kategori Model Asia di Seoul, Korea baru-baru ini.