Usia kandungan dijangka berusia empat minggu, pelakon Datin Almy Nadia mengalami pendarahan pada rahim dua hari sebelum Hari Raya. Selepas melakukan pemeriksaan terdapat darah beku seperti ulser pada rahim Almy.

Menurut Datuk Fizz Fairuz, saiznya membesar sehingga satu sentimeter setiap hari. Malah, Almy juga lemah dan pucat kerana kehilangan terlalu banyak darah sebelum doktor membuat keputusan utnuk melakukan pembedahan mencuci rahim.


BACA: Fizz Fairuz Sahkan Almy Nadia Hamil Anak Keempat

“Dua hari sebelum raya, Almy mula mengalami pendarahan pada rahim. Buat pemeriksaan ada darah beku pada rahim Almy seperti ulser.

“Hari pertama darah beku tu hanya berukuran 1cm, hari ketiga ia membesar kepada 3cm hingga 6cm semalam.

“Semalam dia mengalami sakit yang teramat sangat sampai muka dia pucat. Almy pun langsung tak dapat tidur, sakit sangat macam orang nak beranak,” katanya kepada mStar Online.

Meskipun tidak dapat dipastikan punca pendarahan tersebut kerana pihak hospital masih melakukan pemeriksaan, Fizz berkata kemungkinan isterinya hamil empat minggu.

Dalam pada itu, Fizz berkata dia percaya dengan rezeki Allah dan mereka membuat keputusan untuk menggugurkan kandungan tersebut bagi menyelamatkan nyawa Almy.

“Rezeki tu mana-mana pun ada. Kalau Allah nak bagi, cepat atau lambat kita tetap akan dapat tapi nyawa Allah bagi sekali saja jadi kami ambil keputusan untuk gugurkan kandungan itu dan selamatkan nyawa isteri saya.

“Sebelum rahim itu dicuci, staf perubatan cakap dalam kantung itu dah kosong, sebelum ni ada kelihatan ketulan seperti kandungan,” katanya.