Takziah buat Datuk Aliff Syukri di atas pemergian bapanya yang meninggal dunia pada Selasa lalu. Dalam pada itu, Aliff meluahkan rasa terkilan kerana hasratnya untuk menghadiahkan sebuah banglo untuk arwah bapanya itu tidak kesampaian.
Menurut Aliff, beliau merancang untuk membeli rumah lebih selesa buat bapanya dan pernah mempelawa arwah bapanya untuk tinggal di bandar namun sering ditolak memandangkan bapanya itu lebih selesa tinggal di kampung bagi membesarkan tiga adik tiri Aliff yang masih bersekolah.
BACA: Aliff Syukri Luah Perasaan Sedih Bapa Meninggal
“Sebelum arwah abah meninggal dunia, saya ada beritahu nak belikannya sebuah banglo, tapi semua yang dirancang tak kesampaian. Saya memaklumkan kepadanya untuk berpindah supaya mudah saya menjaganya.
“Namun, abah cakap berilah dia ruang selama tiga tahun membesarkan anak-anak lain yang masih bersekolah. Tidak sangka dia pergi selamanya,” katanya kepada Kosmo!
Aliff memberitahu beliau akan memegang amanah arwah bapanya untuk menjaga tiga adik tirinya. Katanya lagi, beliau meluahkan rasa syukur segala urusan dipermudahkan dan hasrat bapanya untuk dikebumikan di kampung ditunaikan.
“Saya berazam, macam mana pun demi abah dan agama, saya akan bantu persekolahan adik tiri.
“Selain itu, hasrat abah untuk dikebumikan di kampung tertunai dan bersyukur perjalanan terakhir abah dimudahkan Allah,” katanya.