fbpx

Aliff Syukri Mahu Hidup Gaji RM3,500, Duduk Rumah Teres

Siapa yang tidak mahukan kehidupan usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri yang memiliki kehidupan mewah dan serba cukup segala-galanya. Bagaimanapun, Aliff berkata dia mahu kembali menjalani kehidupan lamanya sebelum dia dikenali ramai.

Menurut Aliff, segala kemewahan yang dimiliknya kini tidak seindah yang disangka kerana ia tidak menjamin kebahagiaan yang diimpikannya. Malah, Aliff berkata dia pernah terfikir untuk membawa diri ke luar negara.

BACA: Aliff Syukri Dapat Tawaran Sambung Belajar Di UiTM

“Dulu waktu saya susah, saya sangkakan apabila kita ada duit, kita akan seronok, tapi sebenarnya kalau kita banyak duit, kita akan hilang banyak benda seperti hilang kawan, hilang privasi dan hilang masa.

“Saya rasa macam nak tukar diri saya nak jadi orang yang tidak ingin dikenali, saya nak patah balik (kehidupan lama). Saya rasa nak berhenti daripada media sosial, nak bawa apa yang saya ada ke luar negara,” katanya kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, Aliff berkata dia mahukan kehidupan seperti orang biasa kerana itu akan lebih membuatkan dirinya bahagia. Namun, dia mengakui bahawa sebagai manusia semuanya tak pernah cukup.

“Saya nak gaji RM3,500, saya nak duduk rumah teres, mungkin saya nak ada kereta Exora dan menyorokkan diri, daripada apa yang saya pernah inginkan 15 tahun lepas.

“Saya rasa benda itu lebih buat saya gembira. Tapi itulah, manusia ini tak pernah cukup, dah dapat apa yang dihajati, mahukan lain pula,” luahnya.

Muncul dengan single terbaru berjudul Cuba Bahagia, Aliff mengatakan lagu tersebut mengisahkan luahan perasaan hatinya yang sedih dengan apa yang dilaluinya.