fbpx

Ali Puteh Rindu Anak Arwah Abam, Hanya Mampu Lihat Di Media Sosial

Selepas kontroversi berlaku antara dirinya dan kakak ipar, Nor Hidayah membabitkan dakwaan membolot harga peninggalan arwah abangnya, pelawak Ali Puteh mengaku hubungan antara kedua belah keluarga terputus.

Menurut Alif, niatnya untuk bersemuka bagi menjernihkan keadaan itu tidak berhasil apabila semua cara untuknya berkomunikasi dengan kakak iparnya disekat termasuklah di media sosial.

BACA: Ali Puteh Dikecam Komen Kerja Amal Man Raja Lawak

Ali berkata dia tidak menyalahkan mana-mana pihak dan akur dengan apa yang berlaku. Bagaimanapun, Ali meluahkan rasa rindu untuk melihat wajah satu-satunya anak arwah abangnya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey.

“Sejak insiden itu, hubungan kami terputus. Malah, kami disekat di media sosial oleh seluruh anggota keluarganya. Saya faham, selepas apa yang berlaku, situasi menjadi semakin sukar.

“Cuma terkilan apabila tidak dapat berjumpa anak saudara. Hendak tengok di media sosial mereka tidak boleh sebab sudah disekat.

“Mujur bekas pemandu arwah memuat naik foto atau video Uthman di media sosialnya, dapat kami menumpang tengok sambil melepaskan rindu,” katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Ali berkata tiada apa yang diinginkan olehnya selain mahu melihat anak abangnya itu membesar dengan baik. Malah, Ali juga berhasrat untuk bertemu Nor Hidayah selepas tamat PKP untuk menyelesaikan segala kemelut.

“Insya-Allah selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat, saya berhasrat bertemu isteri arwah dan keluarganya untuk menjernihkan keadaan. Kami mahu melihat anak buah yang amat dirindui itu.

“Buat masa ini, biarlah saya tengok Uthman dalam media sosial sahaja. Dapat melihat dia sihat dan membesar dengan sempurna sudah cukup menggembirakan kami sekeluarga,” katanya.