fbpx

Ali Puteh Kecewa Ditipu, Tak Dapat Bayaran Sepanjang Jadi Duta Ayam

Pelawak Ali Puteh memaklumkan dia tidak mahu lagi dikaitkan dengan sebuah syarikat pembekal ayam selepas dilantik sebagai duta pada April lalu.

Memetik Utusan Online, Ali berkata dia enggan namanya terlibat dengan penipuan syarikat tersebut terutama membabitkan hal bekalan ayam kepada peniaga dan pembeli.

BACA: Ali Puteh Nasihat Pelawak Baru Jangan Riyak

“Saya tidak mahu ada pihak yang berdepan dengan masalah apabila berurusan dengan syarikat pembekal itu selepas beberapa isu timbul.

“Terus-terang saya juga kecewa dengan apa yang terjadi apabila perjanjian antara saya dengan syarikat itu tidak berjalan seperti yang sepatutnya,” katanya.

Menurut Ali lagi, dia turut kesal kerana sudah memberikan sepenuh komitmen sebagai duta namun tidak menerima bayaran seperti dijanjikan.

“Saya terima tawaran kerana diperkenalkan orang seorang kawan yang memang saya kenal dan peluang perniagaan turut ditawarkan bagi saya.

“Saya melihat ia sebagai satu peluang terbaik untuk menjana pendapatan lebih stabil tapi perkara lain yang timbul,” katanya.

Dalam pada itu, Ali memberitahu meskipun mempunyai kontrak sah dan beberapa kali cuba mendapatkan penjelasan namun tiada jalan penyelesaian.

“Sedih sebab saya lepaskan banyak tawaran lain untuk fokus pada peluang ini dan saya ada tanggungjawab serta tanggungan. Saya terima dan saya percaya ada hikmah cuma saya perlu tampil untuk membuat penjelasan berhubung hal ini.

“Saya enggan masalah timbul dan nama saya terkait apabila syarikat ini membuat urus niaga. Saya tidak mahu ada pihak lain jadi mangsa,” katanya.

Terdahulu, Ali menafikan menjalankan perniagaan itu untuk membayar saman ganti rugi RM60,000 kepada kakak iparnya, Siti Nor Hidayah.