fbpx

Akui Terlalu Emosi, Caprice Mohon Maaf

Hangat diperkatakan mengenai perselisihan faham antara Caprice dan pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew, menerusi satu perkongsian sebentar tadi, penyanyi rap itu memohon maaf secara terbuka.

Menerusi satu muat naik di Instagram, Caprice bukan sahaja memohon maaf kepada Ebit Lew malah kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.

BACA: Tak Nampak Bayang Ketika Misi Bantuan Di Jordan, Netizen Persoal Mana Caprice?

Caprice berkata dia mengakui kesilapannya yang bertikdak mengikut emosi kerana perjuangannya demi ummah, Palestin dan rakyat Malaysia.

“Salam Tunku Mahkota Johor, Hishammuddin dan Ebit Lew, Caprice mohon minta maaf atas kesilapan Caprice di mana kita terlalu emosi tentang pejuang kita demi ummah, demi Palestin dan demi Rakyat Malaysia.

“Apa yang berlaku adalah kesilapan Caprice sendiri dan tidak terlibat pihak lain. Caprice nak ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Hishammuddin, Kedutaan Malaysia-Mesir dan Kerajaan Mesir atas layanan baik, sokongan dan perlindungan 24 jam sepanjang Caprice di Mesir,” katanya.

Dalam perkongsian itu juga, Caprice turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang disifatkannya sebagai ‘ayah’ sepanjang berada di sana.

“Tak mungkin Caprice dapat membalas segala kasih sayang dan kebajikan yang telah Datuk Seri tunjuk sepanjang misi ini. Kepada semua yang terlibat juga, terima untuk segala-galanya,” katanya.

Caprice turut memohon maaf kepada ibu bapanya yang meluahkan rasa bimbang terhadapnya serta memohon kemaafan kepada rakyat Malaysia di atas apa yang berlaku.

“Saya sayang anda dan niat saya mula melangkah sendiri di usia 16 tahun hanyalah untuk membuatkan kamu berdua bangga.

“Minta maaf kepada Malaysia dan rakyat Malaysia. InsyaAllah, saya akan kembali selepas menunaikan tanggungjawab dan janji kepada rakyat Palestin. Saya minta maaf,” katanya.