fbpx

Akui Kesilapan, PU Abu Sebak Isteri Tetap Setia

Beberapa tahun lalu, hangat diperkatakan mengenai rumah tangga pencetus ummah, PU Abu Sufyan yang pernah menceraikan isterinya yang sedang hamil, Ain Afini dan bernikah dengan seorang janda. 

Susulan tindakannya itu, PU Abu dikecam teruk oleh netizen apatah lagi menceraikan isterinya yang sedang hamil. Malah, perkahwinan keduanya juga tidak bertahan dan difahamkan mereka telah berpisah.

BACA: PU Abu Akui Dalam Proses Cerai Isteri Kedua

Baru-baru ini, perkongsian PU Abu menjadi perhatian apabila memuat naik gambar mereka sekeluarga serta menitipkan penghargaan buat isteri tercinta, Ain Afini.

Menerusi entri itu, PU Abu meluahkan rasa syukur mempunyai wanita hebat dan setia disisinya. PU Abu berkata jika ‘wanita biasa’ pasti sudah angkat kaki apatah lagi sudah banyak kali dia membelakangkan wanita itu.

“Moga Allah jaga keluarga kecil kami ini, bila teringat likunya rasa sebak. Lebih-lebih lagi wanita hebat ada di samping saya ni. Sabarnya persis arwah ummi. Wanita biasa mungkin angkat kaki dah, tapi dia masih ada disamping tak kira apa pun. Meredhai segala keputusan si suami. 

“Biar dibelakangi berkali-kali, tapi masih tetap menjaga maruah, tidak pernah memberi ruang kepada mana-mana lelaki. Benarlah kata hukama’ ingin mencari isteri solehah, carilah ibu yg terbaik buat anak-anakmu,” tulisnya.

Dalam pada itu, PU Abu juga memberi bayangan bahawa mereka akan menimang cahaya mata ketiga pada tahun hadapan.

Sementara itu, menerusi perkongsian di Insta Story, pendakwah bebas itu dilihat memuat naik satu perkongsian meluahkan rasa rindu buat isterinya serta meminta maaf di atas setiap kesalahan dilakukannya.

Perkongsian PU Abu itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang berharap pendakwah itu akan menjaga serta lebih menghargai isterinya dan menjadikan perkara lalu sebagai pengajaran.