Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mendakwa penyebaran video tular membabitkan Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain di KLIA mempunyai unsur berniat jahat serta cubaan menjejaskan imej dan reputasi beliau serta agensi itu.

Insiden pada 28 September lalu itu berlaku ketika Mohd. Shuhaily mengadakan tinjauan tahap kesiapsiagaan operasi AKPS di KLIA Terminal 1 sempena ketibaan delegasi dan kru Formula 1 Bahrain Grand Prix 2026.

Dalam tinjauan itu, beliau bersama pasukan operasi turut menjalankan penguatkuasaan terhadap individu warga asing yang disyaki terlibat dalam aktiviti ‘ulat’ susulan aduan dan dakwaan orang ramai mengenai peningkatan aktiviti penyeludupan bahan terlarang serta kontraban hampir setiap hari di KLIA.

“Pengoperasian ini merupakan aktiviti penguatkuasaan pertama yang dilakukan oleh AKPS bersama pasukan Aviation Security (AVSEC) KLIA dan dilaksanakan secara menyeluruh dan konsisten,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan operasi itu, seorang warga asing dikenal pasti dan dibawa ke ruang bagasi untuk pemeriksaan lanjut, dengan AKPS menegaskan proses berkenaan hanya melibatkan pihaknya bersama AVSEC KLIA.

“AKPS ingin menjelaskan bahawa proses pemeriksaan dan temu bual pada ketika itu melibatkan pasukan operasi AKPS bersama AVSEC KLIA sahaja dan tidak melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mana-mana agensi penguatkuasaan yang lain,” katanya.

Menurut AKPS, dua individu yang bukan sebahagian daripada pasukan operasi kemudian memasuki ruang bagasi berkenaan tanpa disedari pegawai dan merakam sesi temu bual antara Mohd. Shuhaily dengan warga asing terbabit tanpa kebenaran menggunakan telefon bimbit masing-masing.

“Tindakan tersebut telah menimbulkan provokasi yang mana telah menjejaskan kewibawaan operasi serta individu yang terlibat secara langsung di dalam operasi tersebut,” katanya.

AKPS yang mengesahkan video tular itu merupakan rakaman sebenar daripada sistem kamera litar tertutup (CCTV) KLIA Terminal 1 berkata, kedua-dua individu berkenaan membuat satu laporan polis sehari selepas kejadian dan laporan kedua dua hari kemudian sebelum klip rakaman tersebut tular di media sosial.

Mohd. Shuhaily kemudiannya membuat laporan polis berhubung tohmahan, rakaman dan penyebaran video itu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh termasuk berkaitan keadaan rakaman tersebut diperoleh dan disebarkan.

“Penyebaran rakaman tersebut juga dipercayai mempunyai unsur berniat jahat serta cubaan menjejaskan imej dan reputasi beliau sebagai Ketua Pengarah AKPS serta agensi ini,” katanya.

AKPS berkata, pihaknya menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa, selain meminta orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan selesai.

×