fbpx

“AJL Pertandingan Untuk Lagu, Bukan Pertandingan Nyanyian”

Dua Belas lagu yang layak ke Anugerah Juala Lagu ke-35 sudah pun diumumkan selepas berakhirnya hari ketiga separuh akhir Muzik Muzik 35 semalam, namun ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan keputusan tersebut.

Tampil membuka mulut mengenai pemilihan lagu-lagu tersebut, Azmeer selaku ketua juri separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM35) berkata walaupun semua lagu yang bertanding karya terbaik, namun ada kekurangan ketika pemarkahan dibuat.

BACA: “Jujurnya, Sufian Suhaimi Punyai Vokal Yang Kemek”

“Semua lagu (di SFMM35) adalah juara. Bukannya tak bagus, cuma dari sudut pemarkahan ada kurang sedikit.

“Contohnya lagu Sembah nyanyian Naim Daniel, juri merasakan bunyi gitar terlalu mengganggu vokal. Saya faham, dalam persembahan ada konsep yang diketengahkan, namun keindahan lagu juga penting,” katanya.

Ujarnya, ada lagu dikategorikan sebagai lagu popular seperti Sakit nyanyian Yonnyboii dan Zynakal, namun ianya tidak memenuhi kriteria untuk layak ke AJL.

“Saya suka lagu itu, tetapi ia lebih kepada lagu popular dan bukan lagu pertandingan,” katanya.

Dalm pada itu, Azmeer turut meminta peminat untuk faham proses pemarkahan dari sudut teknikal. Ujarnya, AJL adalah pertandingan untuk lagu dan bukan nyanyian semata-mata.

“Semua orang buat salah sebab kita manusia. Ada salah sikit-sikit saya tak ‘pancung’ (potong markah) sebab tidak bererti lagu itu tak bagus. Kalau saya ada kuasa, saya nak 17 lagu bertanding di AJL35, tapi kita kena faham hanya 12 lagu dipertandingkan.

“Saya harap peminat boleh faham dari sudut teknikal. Contohnya, walaupun Aishah ada sedikit kekurangan ketika menyanyikan lagu Aku Bidadari Syurgamu, tapi melodinya bagus. Ini pertandingan untuk lagu, bukan pertandingan nyanyian. Jangan hukum komposer kalau ada kesilapan daripada penyanyi,” katanya.