Penyanyi dan komposer Ajai mengakui terkilan apabila sebuah lagu berjudul Biarlah Ia Berlalu yang dicipta untuk Allahyarham Sandra Dianne tidak sempat dinyanyikan oleh peserta Big Stage 2020 itu.

Menurut Ajai, lagu tersebut sudah dicipta sejak tahun lalu namun rancangan tersebut tidak dapat diteruskan berikutan arwah Sandra telah bertukar syarikat pengurusan. Ujarnya, dia tidak akan memberikan lagu itu kepada penyanyi lain memandangkan ia dicipta khas mengikut nada suara arwah.

BACA: Ajai Mohon Maaf Bagi Dr Hafiz Zainal 2 Markah

“Saya ada cipta lagu untuk arwah Sandra pada tahun lalu.. lagu itu genre balada. Sepatutnya dah ada persetujuan dengan pihak pengurusannya ketika itu tapi ia tertangguh sebab arwah bertukar syarikat pengurusan.

“Ada banyak perkara yang berlaku, kelam kabut. Perancangan itu pun senyap begitu saja. Lagu itu tak boleh diberikan kepada orang lain sebab bila saya buat lagu memang untuk orang itu.

“Jadi saya simpan saja lagi itu. Cuma saya tak ada rezeki nak rakam dengan dia. Arwah ada keunikan tone suara dan tidak semua lagu boleh sesuai dengan suara dia,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Ajai berharap lapan peserta Big Stage yang akan bersaing pada Ahad depan akan terus kuat menghadapi cabaran dari segi mental dan fizikal.

Terdahulu, Sandra disahkan meninggal dunia Jumaat lalu selepas enam hari berada dalam keadaan kritikal. Arwah yang bersama sepupunya terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke PICC untuk sesi latihan rancangan Big Stage terbitan Astro.