fbpx

Aishah Tak Nak Masuk Lagi Program Realiti Nyanyian, Mahu Fokus Ibadah

Penyanyi Datuk Aishah memberitahu dia tidak mahu lagi menyertai pertandingan realiti nyanyian kerana penat menerima kritikan daripada netizen serta bimbang boleh memberi kesan pada kesihatan mentalnya.

Memetik BH Online, Aishah berkata dia mahu fokus kepada ibadat dan memenuhi undangan nyanyian. Menurutnya lagi, dia kini mahukan ketenangan.

BACA: Aishah Salahkan Monitor Telinga, Punca Nyanyian ‘Hauk’

“Saya fikir tidak mahu masuk lagi (pertandingan realiti nyanyian). Saya mahu buat ibadat, macam orang cakap, sudah-sudahlah sebab sudah tua. Apa yang saya perasan daripada kecaman yang diberi, seolah-olah beransur tua ini adalah perkara berdosa.

“Kita tiada lagi hormat kepada orang yang berusia daripada kita. Bagi saya, saya hendak lawan satu-satu pun penat. Saya sudah sampai tahap, kalau dalam keadaan toksik, saya buang toksik itu… Saya mahu tenang. Sekarang media sosial ada kebaikan dan keburukan.

“Kebaikannya, kita dapat berhubung secara terus. Namun, keburukannya, ia memberi hak kepada manusia untuk kata apa saja hingga hilang adab dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Aishah berkata dia nekad menyekat netizen yang negatif serta meletakkan status privasi kepada akaun media sosialnya.

“Saya tidak akan terima sikap orang biadap. Saya juga tidak akan menormalkan perkara itu. Kehidupan saya sekarang, saya tak perlu buktikan apa-apa kepada sesiapa.

“Saya sedar kita lawan macam mana pun, ada sahaja yang tidak betul bagi ‘haters. Jadi, tidak mengapa tiada jutaan pengikut,” katanya.