fbpx

Aina Tidak Ambil Hati Komen Adlin Aman Ramlie

Baru sahaja bermula persaingan bakat di Mentor Legend, sudah timbul isu yang menjadi bualan ramai sejak beberapa hari ini. Komen juri Adlin Aman Ramlie terhadap Aina yang merupakan anak didik Ella mengundang rasa kurang senang di kalangan penonton.

Antara bait komen Adlin Aman Ramlie adalah berkaitan imej bertudung Aina yang dikatakan mirip ‘makcik makcik dan ustazah yang tiba tiba menyanyi’.

Bercakap kepada portal GUA, Aina mengakui tidak kisah apabila ada pendapat mengatakan beliau tampil dengan imej kelihatan seperti makcik-makcik.

“Komen adalah guru terbaik saya. Semua komen juri, peminat yang saya terima adalah merupakan satu cabaran untuk saya berusaha dengan lebih lagi dalam usaha memperbaiki diri. Saya sendiri tak kisah atau terasa hati apabila dikatakan berpenampilan macam makcik-makcik kerana bagi saya, fesyen boleh diperbaiki,” ujar Aina berkaitan isu ini.

Mentor Aina, Ella dalam kenyataan yang sama berkata mereka akan menilai semula fesyen juga penampilan Aina supaya lebih sesuai dengan umurnya.

“Saya berterima kasih atas teguran itu. Berkenaan dengan imej Aina, selepas ini saya dan pasukan akan meneliti gaya dan cara fesyen yang bersesuaian dengan Aina dan umur Aina. Kami akan cuba beberapa gaya hijab dan fesyen untuk Aina gayakan,” ujar Ella.

Pada kami yang buta fesyen ini, pada peringkat awal persaingan seperti Mentor Legend isu imej bukan satu perkara besar dan bakat nyanyian perlulah diutamakan. Ya tidak? (rtky/m)