fbpx

Aina Abdul Beli Mikrofon Berharga Puluhan Ribu Ringgit

Sudah lama menyimpan impian tersebut, penyanyi Aina Abdul sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk memiliki mikrofon sendiri yang ditempah khas.

Aina berkata dia sudah impikan mikrofon itu sejak 2019 lagi dan tahun ini baru cukup duit untuk membelinya. Bagaimanapun, Aina enggan mendedahkan harga sebenar mikrofon berkenaan.

BACA: Wajah Dihina Buruk, Aina Abdul Terpaksa Nyanyi Pakai Pelitup Muka

“Ini mikrofon pertama saya beli. Ikutkan dari 2019 sudah sampaikan hajat dengan pembekal mikrofon, tapi baru tahun ini cukup duit untuk beli. Mikrofon ini juga ditempah khas atau ‘custom made’. Saya pilih warna biru sebab memang minat warna itu. Harga sebenar pula, biarlah rahsia,” katanya.

Dalam pada itu, Aina berkata dia tidak sabar untuk menggunakan mikrofon berkenaan pada persembahan pertamanya di Istana Budaya pada 6 November ini.

“Insya-Allah buat pertama kali gunakan mikrofon ini dalam nyanyian secara langsung. Saya sudah buat percubaan selepas mikrofon ini sampai.

“Memang puas hati dan ‘best’. Alasan kenapa saya beli mikrofon sendiri adalah sebagai keperluan untuk bekerja, kepuasan diri, penghargaan pada diri dan untuk jenama sendiri,” katanya.