fbpx

Wajah Dihina Buruk, Aina Abdul Terpaksa Nyanyi Pakai Pelitup Muka

Sejak muncul di AJL 34 yang lalu, nama Aina Abdul semakin dikenali ramai. Namun, Aina juga tidak terlepas daripada kritikan negatif netizen sehingga dia terpaksa memakai pelitup muka ketika mendendangkan lagu Semalam di Intagram baru-baru ini.

Ia susulan tindakan netizen yang mempertikaikan wajah dan penampilannya yang dihina buruk sehingga menyebabkan dirinya kurang berkeyakinan serta mengambil langkah berjaga-jaga untuk tidak menonjolkan wajahnya kepada umum.

“Saya sering terbaca komen kurang manis dalam laman YouTube, sejak beberapa minggu ini. Mereka mempertikaikan penampilan dan membandingkan saya dengan penyanyi lain.

“Tohmahan dilemparkan menyebabkan saya hilang keyakinan diri hingga tidak mahu menonjolkan wajah. Saya juga merasakan diri seorang yang buruk.

“Saya terima kecaman hingga malas menunjukkan muka. Bagi mengelak terus dikecam, saya buat keputusan pakai pelitup muka,” katanya kepada BH Online.

Meskipun tampil memakai pelitup muka, bagaimanapun Aina tidak dapat menyembunyikan rasa terharu apabila wujud peminatnya tetap memuji kemantapan vokalnya.

Katanya lagi, sokongan daripada peminat membuatkannya bersemangat untuk terus melangkah dan lebih kuat untuknya berdepan pelbagai kecaman.

“Saya terharu ada peminat memuji dan mengatakan vokal semakin mantap biarpun memakai pelitup muka. Sejujurnya, ia seperti memujuk hati yang terguris ketika kata nista dilemparkan,” katanya.