Bergelar suami kepada Che Syarah Haifa pada Jumaat lalu, penyanyi Aiman Tino berkata dia enggan menjadi terlalu tegas terhadap isterinya.
Memetik Kosmo, Aiman berkata dia memilih pendekatan diplomasi berbanding memaksa serta akan cuba mengubah isterinya secara perlahan.
BACA: Honeymoon Luar Negara, Aiman Tino Idam 4 Orang Anak
“Untuk rumah tangga pasangan muda seperti kami, rasanya tidak boleh menjadi terlalu formal. Saya bukan jenis lelaki yang mahukan isteri ikut segala arahan saya.
“Saya hormat sikap dan akan cuba ubah dia perlahan-lahan bukannya terus memaksa. Pendekatan diplomasi penting. Mungkin lima tahun dari sekarang dia boleh mula pakai tudung,” katanya.
Menurut Aiman, dia dan isteri juga tidak terlepas dugaan apabila ingin mendirikan rumah tangga dan dia turut melakukan solat istikharah meminta petunjuk daripada Allah.
“Apabila sebut sahaja mahu berkahwin, pasti akan ada dugaan atau perkara yang tidak terjangka. Keluarga kami sangat okey cuma tiba-tiba disebabkan mulut-mulut daripada ahli keluarga lain menyebabkan berlaku sedikit kucar-kacir.
“Itulah dugaan yang kami harus tempuhi. Mungkin juga kerana ‘syaitan’ nampak usaha kami ke arah kebaikan membina masjid dan urusan kami diberikan sedikit kesulitan.
“Saya percaya pilihan saya tepat dan disenangi ramai. Saya yakin dia sememangnya jodoh saya. Saya anggap dugaan sebagai cara Allah mahu tunjukkan dia jodoh saya.
“Saya buat istikharah, jaga solat dan lapangkan dada. Jadi, semua masalah yang ada pun dipermudahkan,” ujarnya.
Terdahulu, Aiman Tino sah bergelar suami kepada Syarah Haifa dengan sekali lafaz pada 27 April lalu i di dewan Astana, Shah Alam.