fbpx

Aiman Tino Kongsi Petua Hadapi Cacian, Kecaman Netizen

Kecoh seketika industri hiburan negara dengan kisah pengakuan depresi penyanyi remaja Haqiem Rusli yang dikatakan sekadar gimik untuk pelancaran single terbarunya. Berikutan itu, Haqiem dikecam teruk oleh netizen dan rakan artis.

Baru-baru ini, penyanyi Aiman Tino memberitahu dia juga turut terkesan dengan isu tersebut. Baginya, bukan mudah untuk bergelar selebriti kerana setiap tindak tanduk akan menjadi perhatian ramai. Pasti ramai masih ingat lagi di awal penglibatan Aiman dia sering dicaci, dimaki kerana popularitinya yang luar biasa.

BACA: Usia 19 Tahun, Aiman Tino Bergelar Pengarah Urusan

Aiman mengakui dia pernah berasa tertekan apabila sentiasa menjadi bahan kecaman, namun dia tidak menghiraukan komen netizen dan banyak meminta nasihat daripada orang terdekat.

“Tipulah kalau cakap saya tidak terkesan membaca komen orang yang kebanyakannya semua mengutuk saya. Memang ada rasa tertekan sedikit tetapi tidaklah sampai depresi.

“Apa yang saya lakukan untuk menghindarkan diri daripada terpengaruh dengan perkara negatif sebegitu adalah tidak mengendahkannya selain banyak meminta nasihat daripada ibu bapa kerana mereka orang yang paling memahami diri kita saat suka dan duka,” katanya kepada Kosmo.

Kata Aiman lagi, jika sebelum ini dia terkilan apabila dikecam tanpa sebab, namun baginya gosip negatif tersebut mampu menaikkan lagi namanya.

“Tapi itu dululah. Lama-lama, apabila baca komen netizen contohnya, saya sudah tiada rasa apa-apa. Kelakar pun ada juga kerana mereka sanggup menghabiskan masa untuk kita.

“Secara tidak langsung sebenarnya ia membantu nama kita untuk dikenali. Jadi, sebagai artis kita juga perlu hargai perkara negatif sebegini sebab ia salah satu daripada proses kehidupan,” katanya.