Aiman Tino Dakwa ‘Terperangkap’ Disaman Ingkar PKPB

Sejak malam tadi hangat diperkatakan apabila penyanyi Aiman Tino dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) petang semalam gara-gara pergi memancing bersama bapanya.

Aiman yang berada di kolam ikan di Kuala Kubu Bharu itu mendakwa dia dan bapanya terperangkap ketika polis melakukan serbuan. Aiman turut berasa hairan mengapa mereka disaman sedangkan sudah mengikut SOP yang ditetapkan.

BACA: Aiman Tino Tak Kisah Saudara Datang Beraya Tapi…

“Saya tergamam dan hairan mengapa polis menyaman saya dan ayah bersama pengunjung yang lain. Kami masuk ke kawasan kolam itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan pemilik kolam.

“Ketika serbuan polis petang lewat petang semalam, hujan lebat. Ramai pengunjung berteduh dalam sebuah bangsal dan ketika itu melebihi 20 orang.

“Polis enggan menerima penjelasan kami dan terus mengeluarkan kompaun kepada pengunjung,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Aiman berkata pengusaha kolam pancing itu yang sepatutnya dikenakan tindakan undang-undang dengan kompaun yang sesuai.

Ujarnya, dia sudah pun mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan dengan mengamalkan penjarakan sosial satu meter, memakai topeng dan mendapatkan nombor giliran untuk masuk memancing.

“Saya kesal disaman pihak polis bersama pengunjung lain,” katanya.

Semalam, media melaporkan seramai 59 pemancing dikenakan kompaun masing-masing RM1,000 kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Mereka dikehendaki melunaskan bayaran kompaun RM1,000 di Pusat Kesihatan Daerah Hulu Selangor selewat-lewatnya 8 Jun ini.

×