fbpx

Aidil Zafuan Akui Tidak Mampu Bayar Tuntutan Mutaah

Aidil Zafuan mengakui beliau tidak mampu membayar tuntutan mutaah RM300,000 yang dipohon bekas isterinya, Rita Rudaini. Aidil selaku defendan memaklumkan banyak perbelanjaan yang perlu ditanggungnya untuk kehidupan baru bersama isteri, Zareema Zainal dan anak.

BACA: Aidil Zafuan Diarah Membayar Nafkah RM3,000 Sebulan

“Selain hutang peribadi seperti kenderaan yang digunakan ketika bekerja, saya juga turut menanggung kedua ibu bapa, bil utiliti dan keperluan sendiri”

“Saya juga turut menyediakan peruntukan dengan membuka akaun Bijak Malaysia dan menyediakan simpanan di Tabung Haji serta insurans untuk kedua-dua anak saya,” katanya yang turut menanggung nafkah kedua anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4.

Selain menyatakan Rita gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai isteri yang baik, pelakon itu juga didakwa turut mengenakan syarat sekiranya ibu bapa Aidil ingin berjumpa dengan anaknya, mereka perlu datang ke rumah di Damansara.

“Sepanjang tempoh perkahwinan dia tidak pernah mengikuti saya pulang ke rumah ibu bapa. Pada permulaan, saya terpaksa ikut demi kerukunan rumah tangga tapi lama kelamaan saya rasa plaintif mula membelakangi suami dengan membuat keputusan sendiri,” katanya.

Tambahnya lagi, Rita sering mendesaknya dan menggunakan media sebagai medium menghebahkan masalah rumah tangga.

Rita Rudaini, menerusi peguamnya, Datuk Zaidi Mohd Zain memfailkan tuntutan itu di sini pada 25 Ogos tahun lalu. Aidil diwakili peguam, Rushdan Sujak Rafee. Prosiding di hadapan Hakim Syarie, Mawardi Che Man ditangguhkan dan bersambung pada 25 Mei ini. (rtky/s)