Lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Demokrat menggesa Washington menyemak semula hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tindakan terhadap warga Israel yang berada di negara ini.
Menerusi surat bertarikh 21 Julai yang dihantar kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, kumpulan diketuai Greg Landsman dan Josh Gottheimer itu turut menggesa supaya pembiayaan di bawah program Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Antarabangsa (IMET) digantung sekiranya Malaysia tidak mengubah pendiriannya dalam tempoh 15 hari.
Mereka mendakwa kenyataan Anwar bersifat anti-Yahudi dan meminta Jabatan Negara AS mengambil tindakan balas terhadap Malaysia.
“Sama sekali tidak boleh diterima apabila seorang ketua kerajaan mengisytiharkan secara terbuka bahawa negaranya akan memburu dan mengusir warganegara sekutu rapat kami semata-mata berdasarkan kewarganegaraan mereka.
“Perkara ini tidak sepatutnya ditanggung oleh pembayar cukai Amerika,” demikian menurut kandungan surat berkenaan.
Dalam surat sama, mereka turut menggesa kerajaan AS menggunakan semua saluran diplomatik yang ada bagi memberi tekanan kepada Putrajaya.
“Kami mendesak kamu menggunakan setiap pendekatan yang ada untuk menegaskan bahawa tindakan ini (oleh Malaysia terhadap orang Yahudi) ada akibatnya.
“Memandangkan adanya ruang diplomatik ini, kami percaya AS perlu menegaskan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaannya bahawa bantuan serta sokongan kami hadir bersama harapan agar mereka tidak menyasarkan warganegara daripada salah satu sekutu paling rapat kami,” kata mereka.
Selain itu, lapan Ahli Kongres berkenaan turut mendakwa Malaysia mengekalkan hubungan dengan Hamas serta mendakwa pejuang kumpulan itu pernah menerima latihan di negara ini, malah menyifatkan Malaysia “menerima pengganas tetapi menjadikan warganegara Yahudi sebagai sasaran”.
Sebelum ini, Anwar menegaskan kerajaan akan mengusir mana-mana warga Israel yang didapati berada di Malaysia susulan dakwaan komuniti teknologi Network School di Forest City, Johor menempatkan warga negara itu menggunakan pasport kedua.
Beliau berkata kerajaan tidak akan berkompromi sekiranya dakwaan berkenaan didapati benar.
Susulan kontroversi itu, pengasas Network School, Balaji Srinivasan, memaklumkan organisasinya menangguhkan pelaburan baharu di Malaysia sementara menunggu penjelasan daripada kerajaan, walaupun menegaskan komuniti berkenaan mematuhi undang-undang negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) hari ini menghentikan lesen perniagaan Network School selepas mendapati berlaku ketidakpatuhan terhadap syarat lesen dan penggunaan premis.