fbpx

Adira Akui Hubungi Elizabeth Tan, Tidak Simpan Dendam

Kisah percintaan yang tak kesampaian antara penyanyi Adira AF dan bekas tunangnya Shahrun Nasrun mendapat perhatian peminat-peminat tempatan. Bagaimanapun Adira enggan mengulas lanjut mengenai punca perpisahan mereka dan menganggap tiada jodoh.

“Kami berkenalan sejak 2 tahun lepas dan secara rasmi kami putus sejak pertengahan April. Dalam hal ini saya tak salahkan sesiapa. Perkara ini pun sudah selesai. Saya masih hormat dan perasaan masih ada tapi tiada jodoh,” katanya yang ditemui semasa majlis berbuka puasa Astro.

BACA: Elizabeth Tan Nafi Jadi Punca Adira Putus Tunang

Adira juga berkata perkara ini terlalu peribadi untuk dia bercerita kepada umum. Fokusnya ketika ini lebih kepada keluarga dan sekiranya ada jodoh lagi dia tidak serik untuk bercinta.

“Saya pun sudah tidak ambil tahu mengenai kenyataan dari pihak sana kerana ia tidak ada kaitan dengan saya. Tetapi saya akui saya ada menghubungi Elizabeth Tan untuk jelaskan kepada dia, kami putus bukan kerana dia. Saya tidak salahkan dia”

“Terlalu peribadi untuk saya bercerita, jadi biarlah saya dan dia (Shahrun) sahaja yang tahu. Buat masa sekarang saya nak memberikan tumpuan pada karier dan keluarga dahulu. Untuk bercinta kembali tidaklah serik dan kalau ada jodoh adalah,” tambahnya.

Rentetan daripada peristiwa itu Adira memberitahu keluarganya turut terkejut akan tetapi lama-kelamaan sudah memahami akan hal yang sebenarnya.

“Mula-mula mak saya sedih jugalah dan terkejut mengenai perpisahan ini tetapi lama-lama mereka sudah faham. Kami berpisah secara baik dan kedua-duanya bersetuju akan perpisahan ini,” katanya lagi kepada media baru baru ini. (rtky/h)