fbpx

Adi Putra Buka Agensi Umrah, Tidak Akan Tinggal Lakonan

Sejak tamat kontroversi tidak lama dahulu, pelakon ini agak senyap dari dunia hiburan atau kami sahaja yang tidak berikan perhatian? Adi Putra dalam senyap senyap telah menubuhkan sebuah syarikat menguruskan pakej umrah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia semalam, Hadid Travel & Tours ditubuhkan untuk beliau memberi peluang kepada dirinya menceburkan diri dalam dunia perniagaan selepas selama ini memberikan fokus kepada dunia hiburan dan lakonan.

“Bila kita ceburi bidang baharu, semua perkara kita perlu belajar. Bila wujudkan Hadid Travel & Tours saya tahu bidang ini tidak ada kena mengena dengan dunia lakonan yang sudah saya lalui selama 13 tahun,” ujar Adi Putra.

“Kumpulan pertama yang diuruskan saya akan berlepas ke Tanah Suci Mekah pada 13 Mac ini. Saya juga akan ke sana tetapi bukanlah sebagai ustaz pengiring, tetapi sekadar menguruskan segala urusan sahaja. Kami akan sediakan ustaz yang lebih arif untuk membantu mereka”

Mempunyai nama besar dalam dunia hiburan, Adi Putra bagaimana pun nafikan yang beliau menggunakan namanya sebagai pengaruh untuk melariskan pakej umrah syarikatnya namun tidak menolak untuk turut serta ke Mekah setiap bulan.

Dan apabila sibuk dengan dunia perniagaan sekarang, pastinya para peminat ingin tahu sama ada Adi Putra akan meninggalkan dunia lakonan yang banyak menaikkan namanya selama ini.

“Saya tidak akan tinggalkan dunia lakonan, soalnya semua masih sama”

“Saya anggap ini permulaan baharu dan saya tidak perlu tinggalkan apa-apa. Sebelum ini juga saya akan fokus untuk semua kerja yang saya lakukan, sama juga untuk perniagaan ini,” tambah pelakon ini lagi. (rtky/eka)