fbpx

“Adakah Dengan Melutut Baru Dia Akan Maafkan Kami?”

Beberapa hari lalu, Izzue Islam mengumumkan dia menarik diri daripada kumpulan Forteen kerana tidak lagi ada persefahaman antara mereka. Malah Izzue juga mendedahkan sering dipulaukan oleh anggota lain dan itu merupakan salah satu sebab dia mahu mengundurkan diri.

Bagaimanapun, kumpulan Forteen menjelaskan apa yang berlaku hanyalah salah faham kecil, berkaitan isu pertukaran lagu tanpa perbincangan yang membuatkan Izzue terkejut dan berkecil hati.

BACA: “Bukan Pulaukan Dia, Kami Tak Diberikan Ruang Untuk …”

Menurut One, yang mewakili ahli kumpulan Forteen berkata dia sudah meminta maaf dan cuba untuk berbincang dengan Izzue namun tidak diberikan peluang. Kata One lagi, dia juga cuba memujuk Izzue supaya memikirkan semula keputusan mahu keluar dari Forteen namun tidak diendahkan.

“Perkara ini boleh dibawa berbincang. Saya siap cakap dengan nada yang lembut dan meminta maaf, tetapi dia memberi isyarat tangan tanda menolak.

“Sedih? Sudah kering air mata saya. Selalunya kalau timbul sesuatu isu, kami akan beri ruang seketika, seterusnya berbincang. Tetapi, kali ini lain pula jadinya.

“Bagi saya, semua ini berpunca daripada ego dan saya sudah memohon maaf. Terfikir juga, adakah dengan melutut baru dia akan maafkan kami?” katanya.

Menurut One, mereka sudah bersama selama tujuh tahun dan sangat sayangkan kumpulan Forteen. Sebelum ini apa jua masalah mereka akan hadapi bersama dan berbincang, tetapi kali ini tiada perbincangan antara mereka berempat sebelum pengumuman untuk menarik diri itu dibuat.