fbpx

Acara Majlis Tak Senonoh, Safiey Illias Mohon Maaf

Baru-baru ini nama usahawan kosmetik, Safiey Illias sekali lagi menjadi bualan ramai apabila menampilkan acara tidak senonoh di majlis rumah terbukanya yang dihadiri oleh pelajar tahfiz dan anak yatim.

Acara rumah terbuka itu juga turut mendapat kecaman hebat daripada netizen dan juga pendakwah bebas PU Amin yang menyifatkan majlis tersebut dipenuhi dengan aktiviti maksiat sedangkan acara itu dihadiri oleh ramai kanak-kanak.

BACA: Safiey Illias Dikecam Teruk Sebab Tayang ‘Punggung’?

Berikutan isu tersebut, Safiey membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi Instagramnya kepada semua pihak terutama mereka yang beragama Islam dan seluruh rakyat Malaysia.

Menurut Safiey, dia juga berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan yang boleh mencemarkan imej agama Islam dan sensitiviti masyarakat. Katanya lagi, dia menerima segala teguran dengan hati yang terbuka dan akan menasihati teman-teman rapatnya yang dilihat melampaui batas untuk berubah ke arah kebaikan.

Video kontroversi yang tular di media sosial itu menampilkan seorang penyanyi ‘wanita’ yang berkelakuan tidak sopan kepada seorang tetamu lelaki. Bagaimanapun, tidak dipastikan sama ada penyanyi tersebut merupakan seorang wanita atau transgender.